7/14/2010

PERKONGSIAN: BILA SEBUT PASAL SABAR..



Ada saatnya, kita merasa seolah-olah dunia menghimpit..kita rasa tersepit..ada juga saat,kita merasakan seolah-olah ujian bertali arus..terlalu banyak masalah..bertimpa-timpa barangkali..

“Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat..”

[Al-Baqarah:45]



‘Highlight’ Bunga kali ini..SABAR.


Sabar dalam kesusahan..juga sabar dalam kesenangan



=DI SEBALIK SABAR ITU..=


Ibnu Qayyim melihat SABAR itu sebagai berHENTI daripada berputus asa dan cemas, mengHENTIkan lidah daripada keluh kesah dan mengHENTIkan segala tindakan sia-sia di saat tertekan atau bersedih.


Kata kuncinya.. HENTI. Ya..simpulan ringkas, sabar itu mengHENTIkan!


Amr ibn Uthman al-Makki pula memandang sabar itu sebagai usaha mendekatkan diri pada Allah dan menerima segala ujianNya tanpa sebarang keluhan atau kesedihan..seperti mutiara kata Saidina Ali..


“Kesabaran itu bermakna memohon pertolongan Allah”




=DI MANA PERLUNYA SABAR ITU?=


Tiga ‘area’ yang memerlukan sabar..


1) Sabar dalam mentaati Allah


Pada Bunga..inilah bahagian yang paling menguji kesabaran. Mentaati Allah..maksudnya kita melakukan segala apa yang Allah mahu kita lakukan secara konsisten atau istiqomah, ikhlas dalam berubudiyyah padaNya, dan melakukan segala itu berdasarkan ilmu yang sohih.


Tanpa istiqomah, ubudiyyah kita itu TIADA MAKNA!


Hatta istiqomah sekalipun, kadang-kadang keikhlasan kita goyah..adakah apa yang kita lakukan ini semata-mata kerana arahan atau benar-benar kerana Allah dan dalam rangka mentaatiNya? Dan adakah ibadah yang kita lakukan itu parallel@selari dengan Sunnah Rasullah?


Pada Bunga, inilah yang perlu kita persoalkan pada diri..dan perlu SABAR dalam rangka memastikan ibadah yang kita lakukan itu punya nilai disisi Allah dan ianya tidak sia-sia!


‘Dan orang-orang beriman dan mengerjakan kebajikan,sungguh mereka akan Kami tempatkan pada tempat-tempat yang tinggi (di dalam syurga), yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik orang yang berbuat kebajikan. Iaitu orang-orang yang bersabar dan bertawakal kepada Tuhannya.

[Al-Ankaboot:58-59]


Lihat..Allah janji syurga! Pada siapa?pada orang-oarang beriman yang punya sabar dalam jiwa mereka..dan kita? Tak mahu menggapai syurga Allah itukah??


2) Sabar dalam menjauhi ma’siat


Mm..satu bahagian yang acapkali dilalui bukan sahaja yang muda malah yang berusia juga. Ma’siat! Ya..ma’siat sana sini..yang mana nafsu amat menyukainya,dan syaitan beria meraikannya!


Bersabar dalam menahan gelojak nafsu bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah. Ketakutan pada hukuman Allah pada pembuat-pembuat dosa dan perasaan malu pada Allah kerana menyalahguna ni’mat pemberiannya adalah kunci dalam proses pembinaan sabar ini!


Namun, ibarat kata Ibnu Qayyim,

“Mereka yang menjauhi ma’siat kerana malu dengan Allah adalah jauh lebih baik daripada mereka yang menjauhi ma’siat kerana takut pada hukuman Allah


Kenapa?? Kerana mereka yang malu pada Allah ini meletak Allah dalam hati,dalam pemikiran dan setiasa meletakkan Allah sebagai yang teratas. Mereka sentiasa mahu memastikan Allah redho dengan mereka, dan perasaan malu itu yang menjadikan mereka begitu.


Dan kita pula..ada rasa malukah?


3) Sabar dalam ujian


Sehebat mana pun ujian, Allah menjanjikan kemudahan untuknya..


“Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu, pasti ada kemudahan. Sesunggunya bersama kesulitan itu ada kemudahan”

[Asy-Syarh:5-6]


Fitrah si mu’min..yakin pada janji Allah secara padu,tanpa goyah dan ragu.


Mereka berusaha membina rasa sabar tatkala diuji kesusahan. Mereka bergerak usaha untuk keluar daripada kesusahan itu dengan jalan-jalan yang Allah mahu.


Dan bila diuji dengan ujian kesenangan, mereka bersabar menahan diri daripada dikuasai nafsu.


Bagaimana caranya? Dengan mengingati,menghargai dan mensyukuri segala ni’mat yang Allah dah beri pada kita!


Teringat pada kata-kata lembut Kak Zu (kakak yang sangat-sangat Bunga sayang):


“Ujian tu terlalu kecil kalau nak dibandingkan dengan segala ni’mat yang Allah dah beri selama ni. Takkan hanya kerana ujian kecil itu, kita lupa pada pemberian Allah yang banyak tu?”


Memang..pasti akan ada yang bersuara..

“Cakap memang ar mudah. Tapi nak buat, susah!!”


Hah..pernah ke Bunga kata..

NAK SABAR NI,MUDAH JE. SEBUT JE SABAR 40 KALI, MESTI BOLEH SABAR PUNYA AR!”


?? Tak pernah kan?


Semua itu perlu dibina. Dan masanya bergantung pada diri dan usaha seseorang. Dan pastinya, atas keizinan Allah juga.



Jom..kita tengok seerah manusia yang punya tahap sabar yang tinggi!


=SEERAH MEREKA-MEREKA YANG SABAR INI=


*Nabi Muhammad S.A.W*


Sejak awal kerasulan Baginda, pelbagai tohmahan, caci maki, kekasaran diterima Baginda. Lebih daripada itu, saudaranya sendiri, yakni Abu Jahal dan Abu Lahab adalah antara mereka-mereka yang tak henti-henti menyakiti Rasulullah. Dan kesabaran Baginda menjadi kunci kekuatan Baginda. Kerana keyakinan, keimanan Baginda tak pernah goyah pada Allah hatta seinci pun!


Refleksi diri: Agak-agak kalian, kalian mampu bersabar kah andai kata seorang kanak-kanak kecil berusia 5 tahun datang dekat dan tiba-tiba cucuk jari anda dengan pensel? Atau terhambur kata-kata amarah dari bibir kalian?


*Nabi Ayyub A.S.*


Masih ingatkah kalian akan kisah Nabi Ayyub? Seorang lelaki yang kaya raya..banyak kambing, biri-biri, tanah, dan ramai orang suruhan..punya anak-anak dan isteri. Namun segalanya hilang setelah Nabi Ayyub ditimpa penyakit..sehingga yang tinggal sihat hanyalah lidah dan hatinya. Lidah dan hati yang tak henti-henti mengingati Rabb yang berkuasa..Allah SWT!


Teringat Bunga pada sabda Rasulullah:

“...seseorang itu diuji mengikut keteguhannya pada agamanya (Islam). Semakin kuat pegangannya pada agamanya itu, semakin kuat dia diuji”

[At-Tirmidhi dan Ibnu Majah]


Kesabaran yang teruji..namun itulah ruang peningkatan tahap keimanan!


Refleksi diri: Teringat pada kisah teman kepada teman Bunga..yang mana ni’mat sebelah penglihatannya Allah ambil semula..dia begitu sabar, malah mampu tersenyum dan tenang dalam biacaranya. Katanya, ini ujian kecil Allah padanya. Subhanallah..sabarnya mengkagumkan Bunga..dan Bunga malu dengan diri sendiri, sakit yang sedikit pun kadang-kadang menitik air mata..mm..



=IBU..LIHATLAH SABAR YANG MEREKA ADA=


Jujur Bunga katakan..ibu/ummi/mak itulah contoh manusia sabar yang paling dekat dengan kita. Mak Bunga sendiri..seorang surirumah sepenuh masa. Insan tua yang begitu Bunga cinta inilah yang Bunga selalu pandang sebagai manusia yang sangat-sangat sabar...kalian tahu kenapa? Meh Bunga nak cerita..dan Bunga yakin, hampir semua ibu juga sabar seperti mak Bunga ini.


Rutin mak setiap hari..bangun sejurus masuk waktu solat Subuh..menyiapkan sarapan anak-anak dan ayah..mengemop lantai rumah..siram pokok bunga..sapu sampah keliling rumah. Mak juga ambil upah jaga anak-anak jiran..yang masih kecil,perlu dimandi dan disuap makan. Lepas tu kena memasak, tak boleh nak lengah-lengah sebab nanti ayah, adik-adik dan anak –anak jiran pulang,semua kelaparan nak makan..


..tapi kerja mak bukan setakat tu je. Kalau yang lain tidur dan berehat setelah makan, mak tak rehat lagi. Kadang-kadang mak jahit baju. Adakala, mak letih sangat, hampir terlena bila duduk-duduk melayan anak-anak kecil jiran. Baru nak lena,si kecil nak terbuang air pula..terus mak tak jadi tidur. Kesian mak..


Menjelang petang, mak buat minum petang..lepas tu mak kemaskan kebun di depan rumah. Bila malam, mak panaskan lauk pauk, mak siapkan hidangan untuk ayah, kemudian lipat baju..dan bila selesai segalanya, baru mak berehat sambil menonton TV..tapi badan mak sangat-sangat letih..mak terlena...


...itulah rutin mak Bunga..seorang mak yang dah tua tapi dikuatkan dirinya seolah-olah masih muda..


...mak memang sangat sabar. Setiap hari buat rutin sama. Kalau kalian, kalian rasa macam mana?


..dulu Bunga tak faham, kenapa mak selalu berleter bila kami adik beradik malas nak tolong mak lipat baju ke, tolong potong sayur ke..


..tapi sekarang Bunga faham..mak kepenatan. Mak tak harap pertolongan anak-anak, mak cuma harap anak-anak mak faham kepenatan mak..dan menghargai pengorbanan mak..


Teringat Bunga pada kata-kata Saidina Umar Al-Khattab terkait isterinya..


“..isteriku yang menyiapkan makananku, pakaianku, mendidik anak-anak, mengerjakan segala tugas yang sebenarnya bukan diperintahkan oleh Allah baginya. Kenapa aku tidak mampu, kalau hanya mendengar leteran isteriku?”


..melihat mak, Bunga jadi sayu..Bunga jadi kagum..betapa sabar dan mulianya jiwa seorang mak. Sabar dalam buat rutin yang sama setiap hari..


..suami kalau bercuti, memang bercuti sungguh..tapi mak tak cuti..malah bertambah lagi kerja kerana mahu melayan keperluan suami..


..anak-anak kalau cuti sekolah, memang bercuti sungguh juga. Tapi mak tak cuti..malah kerja berganda..maklumlah,anak-anak nak makan itu ini..kena disiapkan..


..kasihnya mak pada suami dan anak-anak..


..sabarnya mak melayan kerenah kami..


..mak..mak..mak..manusia sabar yang paling dekat dengan Bunga..



=KONKLUSI=


“..dan orang yang sabar dalam kemelaratan, penderitaan, dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa”

[Al-Baqarah:177]


Ketaqwaan perlu dibina. Dan menjadi manusia bertaqwa itu memerlukan kita mendidik sabar dalam jiwa kita!


Bunga teringat pada bicara Ibn al-Jawzi..


‘Sesuatu membuatkan aku berdepan kesedihan dan tekanan yang hebat..dan aku sedar, hanya taqwa yang mampu membawa kepada segala kebaikan dan kesenangan..dan kesusahan yang terjadi akibat dosa-dosa hanya boleh diatasi dengan taubat dan permohonan ampun kepada Allah..’


Dua kata kunci..TAQWA dan TAUBAT..yang mana dua kata kunci ni jelas nyata saling terkait.


Manusia bertaqwa (muttaqin) sentiasa merasa dirinya berdosa..dan sentiasa bertaubat memohon ampun daripada Allah..bukan hanya sekali dua atau ikut musim, seperti musim Piala Dunia ni. Ianya proses berterusan..dan SABAR dalam rangka usaha mentaati Allah,itulah sesuatu yang amat memerlukan kita untuk bermujahadah!


Dan ingatlah, bilamana kita diuji..


“Dan sungguh, Kami akan benar-benar menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan Kami akan uji perihal kamu”

[Muhammad:31]



Allah mahu kita bersabar..kerana kesabaran itu cirri-ciri orang yang berjaya.


Bukan sekadar berjaya di dunia..tapi juga di akhirat!


Bunga mahu itu..kalian juga pasti mahu kejayaan kan?


p/s: Mak..kaklang sangat rindu mak..

5/21/2010

PERKONGSIAN: KUASA PERANCANGAN


Saat kini, terlalu banyak ‘assignment’ (padahal 3 je pun) dan kuliyyah yang padat. Dan teman-teman kuliyyah juga tak henti-henti bertanya dengan pertanyaan yang ‘bisa’:


“Kau dah stat buat assignment ke?”


..atau..


“Kau buat assignment tu macam mana ek? Kau mesti da mula buat kan?”


Agak stress sebenarnya bila ditanya begitu. Tapi satu peringatan juga..KENA MULA BUAT DAH lambakan-lambakan asssingment tu. Tapi:


Macam mana nak mula?


Daripada mana nk mula?


..dan Bunga tertanya diri sendiri..kenapa tidak bermula dengan perancangan??


=MERANCANG..MACAM MERANCANG KEHAMILAN JUGA!=


Bagi pasangan suami isteri yang sedang belajar (ni contoh je ye), pastinya mereka akan cuba merancang sebaiknya. Supaya mereka dapat penuhi sebaiknya hak anak yang bakal lahir nanti..dan kehidupan mereka nanti lebih berjalan lancar.


..atau dengan erti kata lain, supaya hasil kehidupan selepas itu lebih efektif dan berjalan dengan lebih cantik!


Begitulah kehidupan. Setiap segi memerlukan perancangan. Tidak boleh tidak..kerana masa yang ada perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk menghasilkan kesan yang terbaik!


=MERANCANG UNTUK ELAK RUGI!=


“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian”

[Surah Al-‘Asr: 1-2]


Nampak tak? Allah dah ‘warning’ manusia ni, kalau tak guna masa sehabis baik..kita akan jadi manusia yang rugi! Rugi yang amat! Kerana manusia ini seringkali memenuhi masa mereka dengan deretan perbuatan sia-sia..[terkaku seketika..]..kalau nak di’list’kan..terlalu banyak...ambil sahaja Facebook sebagai contoh. Berapa ramai yang rasa keimanan mereka pada Allah tertingkat saat melayari FB tu? Dan berapa ramai pula yang kerugian masa akibat terlalu leka mem’browse’ rakan-rakan sampai melewatkan solat dan mengabaikan pelajaran??


Teringat kata teman Bunga..


“Kalau rasa dengan buat sesuatu perkara tu boleh meningkat keimanan pada Allah, buatlah..takde sapa halang!”


..dan kalau rasa apa yang kita buat itu tak ada manfaat, sila hentikan!


Sebab itu, Bunga senang untuk katakan, MERANCANG KEHIDUPAN itu amat penting perlu, kerana tanpa perancangan, kita bakal membazirkan hayat kita dengan perkara sia-sia, kita hanya mengundang kesusahan dan kecelakaan pada masa depan kita!


Kalau kita kehilangan ibu bapa, kita mungkin boleh ada ibu bapa angkat. Pada wanita yang kehilangan anak, mereka masih boleh memperoleh anak lain. Tapi konsep ‘penggantian’ ini tidak berlaku pada MASA! Kalau kita hilang 20 Mei 2010 ini, TAKKAN pernah ada lagi 20 Mei 2010 ini! Kalian tak rasa kerugiankah??


Lebih malang lagi buat manusia-manusia yang tiada aturan dan perancangan kehidupan ni, masa terbazir tadi tu seringkali disesalkan..dan bila sampai masa ajal datang ‘menziarahi’, mereka diambang klimaks kerugian!


=MERANCANG UNTUK JADI HEBAT!=


Kalau kita selak-selak kisah para sahabat, kehebatan mereka terbina sebagai natijah perancangn hebat dakwah Rasulullah.


Ingat lagi bagaimana Rasullullah menyampaikan da’wah secara sulit di rumah Arqam bin Abu Arqam? Ada ke Baginda terus sampaikan secara terang-terang? Tidak bukan? Kalian rasa, kalau Baginda sampaikan terus secara terang-terangan, adakah penduduk Mekah akan terima suatu ajaran yang berlainan dengan amalan nenek moyang mereka macam tu sahaja? Pasti tidak!


Kalian nampak tak..bagaimana hebat perancangan da’wah Rasullulah sehingga lahirnya peribadi-peribadi hebat seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman Affan, Ali Karamallahu Wajhah, Mush’ab Umair dan deretan para sahabat yang lain!


Lihat juga pada kisah penaklukan Constantinopal. Bagaimana telus dan jitunya perancangan strategi perang oleh Muhammad Al-Fateh..dikajinya setiap inci kekuatan pihak musuh dan hasilnya, telah lahir strategi dan idea-idea hebat sehingga tembok musuh setebal 6meter mampu diatasi dengan penciptaan meriam, kapal-kapal besar mampu dipindahkan melaui bukit bukau dan pembinaan kubu yang hebat!


Kalian nampak tak?


Lihat juga para ilmuan dan cendiakawan Islam seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Farabi dan ratusan yang lain. Apa rahsia kehebatan mereka? Bagaimana Ibnu Sina mampu kuasai pelbagai bidang ilmu dan menghafaz Quran dalam masa yang sama, sedangkan masa yang beliau ada juga 24 jam sehari, sama seperti kita?


Kamu ingat, kehebatan itu terbina secara sendirikah? Tidak!!


Apa kata kuncinya? Itulah kuasa PERANCANGAN!


[PERANCANGAN tu KUNCI KEJAYAAN!!]



Golongan-golongan hebat ini merancang kehidupan mereka sehabis baik. Mereka mampu menjadi cemerlang dalam urusan dunia dan akhirat mereka! Mereka men’system’kan kehidupan mereka mengikut acuan yang Allah mahu..cantik dan tersusun!


Dalam erti kata lain, PERANCANGAN yang HEBAT, HASILNYA juga HEBAT!!


=NAK KELUAR DARIPADA JAHILIYYAH, JUGA PERLU DIRANCANG!=


Terkenang pada kata-kata Saidina Ali:


“Islam yang TIDAK dirancang takkan dapat mengatasi jahiliyyah yang DIRANCANG!”


Hah..nampak tak impak perancangan ni??


Hatta untuk keluar dan mengatasi jahiliyyah dalam diri dan masyarakat juga perlu dirancang dan berstrategi, barulah dapat mencapai objektif.


Sedangkan musuh Islam tu, tak pernah penat menyusun strategi untuk lemahkan umat Islam..sikit demi sikit perancangan mereka nampaknya berjaya..mm..bila direnungkan, satu kesedihan sebenarnya..ummah semakin lemah..Bunga tak cakap pada orang lain, Bunga lebih senang tunding jari pada diri sendiri..sebab Bunga juga salah satu daripada ummah itu..dan oleh sebab itulah, Bunga yakin perancangan dalam ‘memerangi’ musuh Islam ni perlukan perancangan teliti!


Analogi nya seperti ini..nak berperang dengan musuh, kita perlu ada strategi di benteng pertahanan, perlu tahu bentuk-bentuk serangan yan boleh dilakukan, perlu kaji berape ramai tentera musuh dan sebagainya. Barulah boleh berjaya tewaskan musuh! Bukan ke macam tu sepatutnya??


Hah..ber’perang’ dengan jahiliyyah itu juga begitu! Perancang teliti perlu ada! Perlu tahu jahiliyyah itu apa, perbuatan apa yang dikategori sebagai perbuatan jahiliyah, apa perlu dilakukan untuk mengatasi jahiliyyah dalam diri dan kemudiannya masayarakat, dan sebagainya!


Dan sekali lagi, PERANCANGAN menjadi kata kunci! Merancang menjadi muslim yang hebat, ianya perlu ada perancangan!


Nah..kamu nampak sekarang betapa hebatnya kuasa perancangan??


=JADI..MULAKANLAH PERANCANGAN ANDA=



[Nak bina rumah, kena ada plan rumah!Bukan boleh main tepek-tepek simen camtu je!]



Ada yang bertanya, bagaimana mahu merancang kehidupan harian..Bunga sendiri sering tanya pada diri, cara apakah yang terbaik sekali untuk memulakan perancangan rutin Bunga?


-JADUAL-


Ada yang bersuara..


“Ala..apa barang jadual-jadual ni. Macam sekolah rendah je!”


Hah..kalian pernah terfikir tak, apa sebab cikgu-cikgu suruh buat jadual waktu, buat jadual tugasan?? Sebab nak kita melihatnya sebagai satu bentuk aturan yang sistematik [walaupun ada di antaranya yang tak berapa menjadi..sekurang-kurang percubaan sudah dilakukan].


Bumi dan bulan mengelilingi matahari..perubahan 4 musim di negara-negara Eropah..itu semua ada ‘jadual’nya...ada aturannya. Bukannya sekejap England musim panas, tiba-tiba musim sejuk..kalaulah ianya tidak mengikut ‘jadual’ yang dah ditetapkan, kalian tahu apa akan jadi?? KEBINASAAN! KEROSAKAN!


Begitu juga kehidupan manusia yang tidak punya perancangan. Yang main merodong je dalam buat segala benda. Hasilnya, semua huru-hara!


Eh..kamu jangan salah faham pula. Tidak semestinya jadual itu perlu dilahirkan dalam bentuk tulisan. Ada perancangan yang pada pendapat Bunga, boleh dirancang tanpa perlu ditulis. Merancang dalam hati dan fikiran misalnya..


‘InsyaAllah, akhir tahun ni kena abiskan bacaan Quran’


Atau


‘Cuti summer ni, nak jejak kaki ke Mesir la pula. Nak tengok kesan tinggalan sejarah di bumi anbiya’


Pada Bunga, itu juga punya elemen-elemen perancangan. Cuma lagi hebat hasilnya kalau perancangan itu dilakukan dengan lebih rapi, supaya hasilnya lebih berganda kualitinya!


=MARYAM FATIN..SOULMATE@PERANCANG YANG MENGKAGUMKAN=


Teman Bunga yang sorang ni, Bunga kagumi dia. Bunga selalu tengok Maryam ni sebagai seorang perancang yang hebat! Bunga lagi, semasa jaulah kami ke Andalucia, Maryam merancang setiap perjalanan kami..daripada destinasi, tempat penginapan, pengangkutan..semuanya dia buat ‘research’! Sampai je kat Andalucia tu, perjalanan kami di bumi asing tu terasa mudah [dan pastinya kemudahan itu atas keizinan Allah]. Begitu juga masa pergi Turki, setiap inci dikaji..untuk merancang perjalanan kami supaya lebih lancar. Bunga ingat lagi bila Maryam minta Bunga tolong buat jadual ramalan cuaca sepanjang jaulah kami ke sana. Bunga tertanya-tanya..


“Perlu ke ramalan cuaca ni. Nak buat apa plak nak tahu pasal cuaca semua ni?”


Dan Bunga peroleh jawapannya bila sampai sana..bila tahu hari itu hujan, jadi kami pergi melawat tempat-tempat yang dekat dengan penginapan kami..bila cuaca cerah dan panas, kami berjalan jauh sikit. Barulah Bunga nampak keperluan jadual ramalan cuaca tu!


Begitu juga dalam buat ‘assignment’. Teman jiwa Bunga ni memang merancang apa dia nk buat..dan Bunga sangat-sangat kagum! Sebab Bunga nak menjadualkan ‘study’ Bunga pun kadang-kadang Bunga malas! Tapi bila ter’tengok’ jadual perancangan dia dia ‘wallpaper’ laptopnya, Bunga jadi cemburu yang amat, jadi Bunga pun cepat-cepat buat jadual. Sebab Bunga pun nak jadi sistematik macam dia juga..dan kalau boleh mahu lebih baik daripada dia :-)


=BERUNTUNG MENJADI PERANCANG NI=


“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian”

[Surah Al-‘Asr: 1-2]


Tapi bagaimana mahu menjadi manusia yang beruntung?


“Kecuali, mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan pula kepada kesabaran”

[Surah Al-‘Asr: 3]


Nah..untuk menjadi manusia yang beruntung, perlu untuk kita memastikan setiap amalan kita itu amalan soleh! Amalan yang mana Allah ambil kira dan hitung sebagai amalan kebaikan di Hari Perhitungan nanti! Dengan itu, perancangan kehidupan sangat-sangat perlu untuk memastikan kita memaksimumkan penggunaan masa kita dengan amalan soleh dan BUKAN dengan perkara-perkara lagho!


Dan itu definisi MANUSIA BERUNTUNG. Ya..beruntung bilamana kehidupannya terisi dengan perkara-perkara yang soleh dan diredhoi Allah..bukankah itu sasaran mu’min hebat?


=DIA..PERANCANG TERHEBAT!=


Kita memang perlu merancang.. tetapi perancangan Allah itu yang terbaik. Itu sudah pasti..bak kata teman-teman Bunga..


Kita merancang tetapi kita TIDAK BERIMAN dengan perancangan


Maknanya, sebarang apa ketentuan Allah, sama ada menepati seperti mana yang kita rancang atau sebaliknya, kita kena redha. Itulah pembumian KEIMANAN dengan QADA’ dan QADAR.


Jika ada yang sudah lama melakukan perancangan dalam kehidupan mereka tapi masih belum berjaya, kalian sebenarnya sudah berjaya..ya,kalian sudah berjaya dalam menstruktur kehidupan kalian. Apa yang perlu dilakukan adalah sentiasa mempertingkatkan kualiti perancangan. Dan pastinya, matlamat perancangan mestilah jelas dan membawa kita kepada Allah..insyaAllah kelak kejayaan pasti milik kita..walaupun bentuk kejayaan yang kita peroleh itu nanti berbeza daripada jangkaan kita.


=KONKLUSI..MULA BERGERAK!=


Kita perlu merancang..merancang dalam sekcil-kecil perkara dan sebesar-besar isu.


Apatah lagi merancang untuk hidup dalam deen Islam ini. Teringat pula pada perkongsian Kak Zu (kakak kecintaan Bunga)..


“Deen Islam tak wujud secara kebetulan. Ia perlu melalui proses yang berstrategi dan terancang! Kenapa perlu dirancang? Kerana jahiliyyah yang dirancang hanya dapat dihapuskan dengan proses tarbiyah yang terancang!”


Jadi..tunggu apa lagi..MARI MERANCANG MENJADI HEBAT!


p/s: Nak bina baitulMuslim pun, kena merancang secara hebat juga![haha..off-task dah ni..ish3..]


5/17/2010

DEDIKASI: KHAS UNTUK MEREKA


Pertama sekali, Bunga mohon maaf sebab lama sangat dah tak menulis. Banyak sebenarnya nak dicoretkan tapi atas beberapa kekangan, Bunga tidak ‘publish’ kan dalam blog ini. Tapi jika Allah izinkan, Bunga akan sambung berkongsi dengan kalian..sooner insyaAllah. Jadi, Bunga perlu doa daripada kalian ye!


=KHAS UNTUK MEREKA=


Entry kali ini, Bunga tuju istimewa buat Maryam, Wani, Aufa, Sabrina, Zafirah, Ain, dan Amal! Waktu di sekolah tadi, Bunga betul-betul teringat kalian..sampai ada anak murid tanya “Are you dreaming?”..Bunga hanya mampu senyum dan usap kepalanya..mahu sahaja Bunga beritahu “I’m thinking of them..I miss them..” dan ini coretan kasih Bunga untuk kalian..


...KERANA AKU JATUH KASIH PADA MEREKA..


Terasa hati disentuh

Oleh lembut sapaan mereka

Terasa jiwa dibelai

Oleh dakapan hangat penuh cinta


Mereka itu teman jiwa

Saat suka saat duka

Melihat senyum tawa mereka

Sudah cukup mencoret pelangi ceria di dada


Bersama dalam tawa

Bersama menitis air mata

Itulah mereka..teman-teman jiwa Bunga

Mana lagi mahu dicari teman seperti mereka

Melihat mereka..hilang rasa penat

Mendengar bicara mereka..bertambah rasa semangat

Aduhai hati..nampaknya kau dah jatuh cinta

Cinta pada mereka..mereka teman jiwa


Sayang seribu kali sayang

Yang bertemu..pasti akan berpisah

Dan pastinya..jiwaku gundah

Rindu meronta minta dilepaskan

Kasih membara minta disalurkan

Bila lagi mahu ketemu

Lutut berlaga..mata bertemu..


Saat ini..aku mengangkat tangan

Menyerah tunduk sepenuhnya padaMu ya Allah

Satukan hati-hati kami ya Allah..atas landasan redhaMu

Tautkan jiwa-jiwa kami ya Allah..atas dasar iman padaMu

..kerana aku jatuh kasih pada mereka..


p/s: Wahai adik-adik (Cik Yam dan Wani pun kira adik juga la ye), korang jangan gelak kat akakmu ini..rindu sungguh ni tau! Walaupun bila berdepan nampak cam brutal (tapi penuh sopan..hehe) kakak sayang kamu semua..









..dan lagu ini, untuk kalian..